Wednesday, July 4, 2007

Parlimen: Dasar Automatif Negara


PERTANYAAN : LISAN

TARIKH : 3 JULAI 2007

SOALAN : Tuan Fong Kui Lun minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimanakah perkembangan dan kesan perlaksanaan Dasar Automatif Negara ke atas industri kenderaan negara sejak ia dilaksanakan.

JAWAPAN:

Tuan Yang Di-Pertua,

Pada 22 Mac 2006, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Automatif Nasional (NAP) yang telah menggariskan halatuju, teras serta strategi utama Kerajaan ke arah mencapai pembangunan industri automotif negara yang maju serta mapan. Di kala persekitaran industri automotif di peringkat global semakin liberal dan kompetitif, NAP bertujuan untuk menangani cabaran tersebut serta mentransformasikan sektor automotif tempatan untuk menjadi lebih berdaya tahan, kompetitif dan penyumbang yang besar kepada ekonomi negara.

Kerajaan akan terus memberi sokongan agar industri automotif tempatan berjaya menjadi kompetitif dan berdaya maju sehingga ke peringkat antarabangsa. Dasar dan sokongan Kerajaan akan difokuskan kepada peserta industri automotif yang memberi sumbangan ekonomi yang mapan. Faktor atau pemacu utama bagi sumbangan ekonomi tersebut adalah skala yang ekonomik, rantaian industri yang meluas dan juga aktiviti nilai tambah yang kompetitif.



Selaras dengan objektif dan intipati NAP, Kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah pelaksanaan seperti berikut:





  1. Menggalakkan usahasama strategik dengan rakan kongsi antarabangsa bagi tujuan pindahan teknologi, akses kepada rangkaian pengedaran antarabangsa yang lebih luas, perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengukuhan penjenamaan.


  2. Meningkatkan keupayaan vendor komponen automotif menerusi proses rasionalisasi dan konsolidasi untuk membentuk vendor yang lebih berdaya saing dan berdaya maju. Dalam hal ini, vendor-vendor digalakkan untuk bergabung serta berkongsi sumber, demi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing. Selain itu, program pembangunan keupayaan seperti program latihan antarabangsa "Malaysia-Japan Automotive Industry Cooperation Programme" telah dilaksanakan. Program-program ini menyediakan peluang latihan kepada vendor-vendor tempatan bagi meningkatkan kemampuan mencapai tahap piawaian antarabangsa di samping mendapat pendedahan kepada sistem pengeluaran lebih efisien seperti Total Quality Management.


  3. Melaksanakan Tabung Pembangunan Automotif sebanyak RM450 juta dan Tabung Modenisasi dan Automasi sebanyak RM300 juta. Tabung Pembangunan Automotif merupakan skim pinjaman mudah yang bertujuan untuk membantu meningkatkan daya saing industri pengeluar komponen dan alat ganti tempatan melalui proses rasionalisasi, pembelian dan pembangunan perkakasan moden, peningkatan penjenamaan, peningkatan pembangunan keupayaan serta produktiviti dan lain-lain. Manakala, Tabung Modenisasi dan Automasi terbuka kepada industri perkilangan bagi tujuan memoden dan mengautomasi proses-proses perkilangan, mempelbagaikan aktiviti nilai tambah dan mengurangkan penggantungan kepada buruh asing.


  4. Menyelaraskan strukur duti import bagi menggalakkan integrasi dengan ASEAN, ke arah membuka peluang kepada industri automotif tempatan untuk meningkatkan eksport ke negara-negara ASEAN.


  5. Mempertimbangkan pengenalan mekanisme tempoh hayat bagi kenderaan untuk mewujud serta menggalakkan permintaan kenderaan baru. Sebuah jawatankuasa yang dipengerusi oleh Kementerian Pengangkutan telahpun diwujudkan bagi mengkaji serta merangka mekanisme pelaksanaan bagi tujuan tersebut.


  6. Melaksanaan Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval) bagi memastikan setiap kenderaan mematuhi piawaian keselamatan, kualiti dan perlindungan alam sekitar.


Berikutan daripada pelaksanaan langkah-langkah tersebut, selaras dengan objektif NAP, rangkaian pengeluar, pengedar dan vendor komponen automotif sedang menjalani proses konsolidasi dan rasionalisai bagi meningkatkan daya maju dan daya saing masing-masing, Selain itu, harga kereta di pasaran telah menjadi lebih kompetitif bagi kemudahan para pelanggan.



Sekian, terima kasih.

No comments: