Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Bintang semasa membahaskan Peruntukan 2008 bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat pada 21.11.2007:Tuan PengerusiDibawah butiran 020100 pentadbiran Tanah, saya ingin bertanya sejak Lembaga Hakmilik Strata ditubuhkan, bagaimanakah kedudukan permohonan hakmilik strata oleh para pembeli unit kediaman dan perniagaan berbilang tingkat termasuk para pembeli lama yang mana pemaju mereka gagal mengemukakan permohonan, terutamanya di Bandaraya Kuala Lumpur.
Sebagai contoh Wisma MPL Jalan Raja Chulan yang mana para pembeli telah lama membeli dan mendiami unit-unit kedai tetapi pemajunya gagal mengemukakan permohonan hakmilk strata lebih awal sebaliknya para pembeli unit perniagaan ini dibebani dengan berbagai tekanan dari pemaju dan pihak pengurusan seperti menutup bekalan air paip ke unit masing-masing dan mengehadkan waktu perniagaan menjadi lebih pendek, dengan tujuan untuk memaksa para pembeli unit menutup perniagaan, jatuh bankrap dan pada akhirnya menjual unit masing-masing balik kepada pihak pengurusan.
Saya juga ingin bertanya sejauh mana pendakwaan ataupun tindakan undang-undang oleh kementerian telah diambil keatas para pemaju yang sengaja melengah-lengahkan permohonan hakmilk strata bagi unit-unit yang dijual kerana tindakan sekadar mengeluarkan surat peringatan kepada pemaju didapati kurang berkesan dan tidak membantu para pembeli.
Dibawah butiran 050300 Pembangunan Hutan , peruntukan RM4,282,700 bagi 2008 telah disediakan. Dan butiran 08600 Pengurusan hutan Secara Berkekalan MP23, bagi Negara peruntukan ini sudah pasti kecil dan tidak banyak membantu. Pembangunan hutan atau penanaman semula hutan amat penting bagi Negara kita memandangkan kebanyakan hutang telah ditebang dan dibangunkan.
Kawasan hutan dara dan hutan sudah kerja tidak banyak yang tinggal tetapi lambat laun hutan tersebut pun barangkali kena ‘sapu’ pada suatu hari nanti jika tidak dikawal dengan ketat. Pencurian kayu balak di kebanyakan negeri nampaknya sukar dibendung. Sebagaimana kata Perdana Menteri bahawa sepanjang jalan Lebuhraya Utara-Selatan, pembangunan tanah berleluasa berlaku dan hutan sudah banyak digondolkan. Hutan yang berguna sebagai kawasan tadahan hujan kini telah diganti dengan banjir di kebanyakan daerah dan kawasan. Kawasan yang dulu tidak berlaku banjir kini sudah berlaku banjir.
Pembangunan hutan adalah satu isu tetapi isu yang terbesar ialah mengekalkan saki baki hutan Negara yang ada dan kerajaan hendaklah membekukan semua pengeluaran lessen konsesi penebangan kayu balak. Apa sudah terjadi dengan program seorang penduduk, satu pokok, sejauh mana ia telah dilaksanakan.
Mengenai butiran 09100 MP 23 – Pembangunan Hutan Simpanan kekal Wilayah Persekutuan yang mana sebanyak RM400,000 telah disediakan, saya ingin bertanya adakah ia dimaksudkan hutan simpanan Bukit Nanas ? Jika ia, apakah maksud peruntukan RM400,000 itu? Kerana ia terlalu kecil untuk belanja pembangunan hutan Bukit nanas.
Hutan kekal penting bagi Kuala Lumpur kerana ia sadikit sebanyak mampu menebat air hujan dari terjadinya banjir kilat, ia boleh mengimbangkan suhu panas di Bandaraya dan boleh menjadikan Bandaraya Kuala lumpur berada dalam taman.
Mengenai butiran 13900 Rancangan Kawalan dan Isyarat Bahaya Banjir yang mana sebanyak RM 7 juta akan disediakan, saya ingin meruju Terowong Smart yang mempunyai 2 guna – satu untuk laluan kenderaan dan meleraikan kesesakan lalulintas dan kedua menyalurkan air Sungai Klang di Kampong Berembang ke Sungai Kerayong melalui terowong air ketika Kuala Lumpur dilanda hujan dan banjir.
Nampaknya Terowong Smart hanya berguna untuk meleraikan kesesakan lalulintas ketika Kuala Lumpur mengalami cuaca panas, bila sudah hujan dan berlaku limpahan air maka bermulalah kesesakan lalulintas tetapi bolehkah terowong itu menyelesaikan masalah banjir di pusat Bandar seperti di stesen LRT/Putra Masjid Jamek setiap kali turun hujan dengan lebat. Ia memerlukan masa untuk tunggu dan lihat atau uji dan kaji.
Manakala butiran 16700 Rancangan Tebatan Banjir dan Saliran Bandar yang menerima peruntukan RM1.095 bilion, dimanakah tumpuan rancangan itu diberikan perhatian. Saya mencadangkan hendaklah ada skuad khas yang sering meninjau dan menguji saliran sama ada pada waktu banjir dan cuaca terang bagi mempastikan tidak berlaku banjir kilat disesuatu tempat. Bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di Bandar-bandar lain pun sudah kerap berlaku banjir kilat. Ini melambangkan mutu kerja pihak petugas sama ada ia mengabaikan kebersihan saliran atau sebaliknya.