Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Bintang semasa membahaskan Peruntukan 2008 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat pada 3.12.2007:
Tuan Pengerusi,
Saya ingin membangkitkan mengenai kedudukan pili bomba sekitar Kuala Lumpur masakini. Sungguhpun kebakaran tidak atau kurang berlaku dalam pusat Bandar, tidak berarti pihak bomba harus alpa dan mengabaikan tugas mereka untuk memeriksa pili-pili bomba sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dari semasa ke semasa.
Sebagai wakil rakyat saya tidak melihat perkara ini dibuat oleh bomba. Apa yang berlaku ialah bila kebakaran terjadi, kebiasaannya pili bomba tidak dapat berfungsi dengan sempurna, seperti berkarat, tekanan air rendah ataupun langsung tiada bekalan air sampai untuk menembak sasaran kebakaran. Kes-kes sebegini yang pernah berlaku dahulu hendaklah dijadikan iktibar supaya tidak berulang lagi.
Bagi memudahkan urusan, pihak bomba boleh menjadikan penduduk-penduduk terdekat pili bomba sebagai anak angkat untuk mereka sama-sama menjaga pili tersebut seperti tidak berlaku halangan misalnya gerai-gerai penjaja, kenderaan dan sebagainya.
Bagaimana pula latihan pencegahan kebakaran bersama-sama penduduk yang jarang dibuat di kawasan Pusat Bandaraya melibatkan bangunan-bangunan tinggi sama ada mempunyai pintu keluar yang cukup, bersedia digunakan bila perlu. Kesemua ini hendaklah diperiksa dari semasa-masa supaya setiap pihak berjaga-jaga terutama PPR dan rumahpangsa sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal, yang mana kini telah tertubuh Jabatan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Sisa Pepejal Negara, saya ingin bertanya bagaimanakah kedudukan konsep membeli-balik sisa pepejal dan sampah-sarap yang mana orang ramai turut sama mendapat keuntungan dengan menjual balik sampah dan bahan buangan mereka kepada syarikat pengutip sampah. Bagaimana sambutan masyarakat dan apakah halangannya. Bagaimana konsep ini boleh diperkembangkan ke kawasan-kawasan lain.
Mengenai Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah pula, saya ingin penjelasan jumlah kes dan jenis kes serta bagaimanakah kedudukan projek terbengkalai yang Berjaya dipulihkan dan tidak dapat dipulihkan dalam tahun 2006, 2007.
Mengenai Kerajaan Tempatan, saya ingin menyambut baik dan memuji Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang membuat lawatan mengejut ke PBT dan yang terakhir saya mendapati telah melakukan lawatan ulangan mengejut di MPAJ untuk mempastikan sama ada arahannya sebelum itu telah dipatuhi. Sikap sebegini yang positif harus diikuti oleh ketua-ketua pentadbiran yang lain. Saya minta Datuk Bandar Kuala Lumpur atau Ketua Pengarah DBKL pergi ke bawah membuat lawatan mengejut ke kawasan-kawasan bermasalah bagi memerangkap pegawai dan kakitangan yang tidak cekap, tidak mampu bekerja rajin atau yang jenis ‘tuang’ (ponteng).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment