Tuesday, September 4, 2007

Rang Undang-Undang bernama Akta Perbekalan Tambahan (2007)

Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukt Bintang, semasa membahaskan Rang Undang-Undang bernama Akta Perbekalan Tambahan (2007) 2007 di Dewan Rakyat pada 4.9.2007:

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin mengambil peluang ini untuk membangkitkan beberapa perkara penting untuk tindakan segera pihak berkuasa yang ada kaitan dengan perbahasan pada hari ini.

PERLU DITUBUHKAN TABUNG BENCANA KUALA LUMPUR

Saya ada membangkitkan soalan no.13 pada 28 Ogos 2007 mengenai apakah sebab mangsa-mangsa banjir di Kuala yang mengalami kerugian teruk tidak dihulurkan bantuan gantirugi atau saguhati dalam beberapa siri banjir besar melanda Kuala Lumpur yang lalu.

Dalam jawapan bertulis YB Menteri di JPM menyatakan bahawa Kerajaan telah memberikan tafsiran ‘Bencana’ di dalam Arahan MKN No.20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan bantuan Bencana Negara sebagai sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benada atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat.

Menurutnya, beberapa kejadian banjir yang melanda Kaula Lumpur baru-baru ini diklasifikasikan sebagai banjir kilat dan banjir kilat tidak diklasifikasikan sebagai bencana berdasarkan Arahan MKN No.20 kerana kejadian tersebut hanya berlaku dalam beberapa jam sahaja. Mangsa-mangsa bencana hanya layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan ehsan daripada peruntukan Kumpulan Wang Amanah bantuan Bencana Negara sekiranya kejadian tersebut menjejaskan sumber kehidupan mereka untuk suatu tempoh berterusan dalam jangka masa sekurang-kurangnya 3 hari.

Saya ingin menjelaskan bahawa sungguhpun bencana diklasifikasikan sebagai banjir kilat tetapi kesan yang dideritai oleh mangsa-mangsa banjir sungguh teruk. Ia memusnahkan harta benda, stok barang-barang perniagaan, penjajaan sehingga menyebabkan mangsa tidak mempunyai modal untuk memulakan semula perniagaan yang lumpuh.

Banjir kilat di pusat bandaraya berlaku pada setiap tahun dan berulang-ulang. Walaupun Terowong Smart siap untuk digunakan bagi menyalurkan air banjir Sungai kelang tetapi kita belum pasti adakah ia dapat mengelakkan banjir kilat di pusat bandaraya ?

Saya mengucapkan terima kasih kerana kerajaan telah memberi bantuan ehsan kepada peniaga-peniaga di Jalan Masjid India yang mengalami kerugian akibat banjir kilat pada 10 Jun 2007, yang turut mendapat perhatian berat dan tindakan YAB Perdana Menteri tetapi adakah bantuan ini diberikan samrata kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Sebagai wakil rakyat kawasan bencana, saya menerima aduan daripada mangsa-mangsa banjir di Komplek Wilayah, Jalan Munsyi Abdullah, Kuala Lumpur seperti Jude Florist LG43 Kompleks Wilayah yang kerugian sebanyak RM30,000 akibat banjir pada 10 Jun 2007.

Sebagai peniaga kecil, pengusaha ini merasa terkesan teruk dengan bencana banjir ini untuk memulakan perniagaan semula. Beliau telah mengadu dengan DBKL untuk meminta bantuan ehsan tetapi tidak dilayan. Jika hampir setiap tahun mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat banjir kilat, adakah itu bukan bencana ? adakah wajar mangsa perlu menanggung sendiri kerugian mereka kerana kerugian mereka tidak boleh diklasifikasikan sebagai bencana. Adakah Kerajaan harus membiarkan mangsa-mangsa mencari along untuk memulakan semula perniagaan dan penjajaan. Para peniaga dan penjaja mungkin mempunyai perkiraan sendiri jumlah kerugian mereka pada setiap tahun bila banji kilat melanda pusat bandaraya yang tidak boleh digantirugi oleh kerajaan.

Oleh itu saya ingin mencadangkan bahawa memandangkan Kerajaan tidak boleh menjanjikan Bandaraya Kuala Lumpur boleh bebas dari banjir kilat seperti yang berlaku pada setiap tahun, maka adalah perlu satu TABUNG BENCANA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR ditubuhkan dengan peruntukan tertentu bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir kilat kerana banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur terutama Pusat Bandaraya sadikit sebanyak adalah berpunca dari kelemahan system Kerajaan sendiri. Kerajaan tidak boleh ‘lepas tangan’ dengan menggunakan Arahan MKN No.20 bahawa banjir kilat di Kuala Lumpur bukan dibawah klasifikasi bencana.

CHANGKAT TAMBI DOLLAH PERLUKAN PONDOK POLIS

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kisah disebalik tabir perayaan menyambut kemerdekaan Malaysa ke 50 pada malam 31 Ogos lalu. Dalam kerancakan kita menyambut ulangtahun jubli emas kemerdekaan Negara terdapat kejadian-kejadian yang mencemarkan suasana sambutan seperti aktiviti lumba haram mat rempit.

Jalan Changkat Tambi Dollah, bersimpangkan Jalan Pudu berdekatan kawasan Bukit Bintang kini sudah menjadi kawasan hitam. Ada sahaja kejadian jenayah seperti ragut, samun, pergaduhan yang melibatkan remaja black metal berlaku disitu. Pada malam 31 Ogos 2007 turut berlaku kejadian yang sama sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan pelancung-pelancung asing yang suka menjamu selera di restoran-restoran berdekatan.

Mereka lari ke tempat lain. Anggota-anggota polis yang bertugas meronda pun tidak berani ‘menangkap’ mereka yang membuat ‘kacau’. Saya ingin mencadangkan supaya sebuah pondok polis dibina segera di persimpangan Jalan Changkat Tambi Dollah/Jalan Pudu bagi memantau gelagat buruk para remaja disitu. Ini boleh menghindar kejadian jenayah disitu.

PENGURUSAN WISMA MPL JALAN RAJA CHULAN MEMOTONG BEKALAN AIR KE LOT-LOT KEDAI DENGAN MEMPERGUNAKAN BOMBA

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai tindakan yang dianggap tidak berperi kemanusiaan pihak pengurusan Wisma MPL Jalan Raja Chulan. Kuala Lumpur bernama Premier Building Management Services sdn Bhd yang bertindak bagi pihak pemilik Malaysia Pacific Corporation Berhad keatas lot-lot kedai yang berniaga dan pejabat dalam Wisma MPL dengan memotong bekalan air ke unit-unit tersebut atas alasan ia membahayakan keselamatan bangunan setelah pihak pengurusan mempergunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan berbuat demikian.

Wisma MPL yang mempunyai lebih 100 unit kedai dan pejabat di empat tingkat tidak mempunyai hakmilik strata bagi setiap unit yang dijual walaupun bangunan ni telah lama dibina.
Sebahagian pemilik dan penyewa unit telah diberi notis memotong bekalan air ke unit mereka atas alasan ia boleh menyebabkan kebakaran tetapi yang anihnya mana-mana lot yang dimiliki oleh pemaju sendiri, bekalan air dteruskan seperti biasa tetapi bekalan air ke unit-unit individu dipotong. Ini menimbulkan kesusahan besar kepada mereka untuk meneruskan perniagaan.

Walaupun rundingan antara pemaju, pengurusan dan pemilik serta penyewa diadakan tetapi ia tidak dapat diselesaikan.Pemaju dan pengurusan masih berdegil dengan sikap mereka memotong bekaan air. Para pemilik dan penyewa bernaggapan bahawa pemaju mempunyai agenda tersembunyi untuk memaksa para pemilik dan penyewa keluar dari situ. Saya minta kementerian campurtangan untuk menyelesaikan pertikaian ini yang mana bekalan air dipotong untuk suatu masa yang lama tanpa ada penyelesaian.

No comments: