Thursday, October 25, 2007

Ucap Bajet 2008


Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP Kawasan Bukit Bintang, semasa membahaskan BAJET 2008 dI Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2007 :


Tuan Yang di Pertua,

Bajet 2008 ada menyebut hasrat Kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap dan selesa bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya dalam Bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi rutin harian serta meningkatkan produktiviti rakyat. Memang benar kesesakan lalulintas telah menjadi factor kehilangan produktiviti sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur. Walaupun kita tidak boleh menyukat jumlah kehilangan tersebut tetapi kesan buruk kesesakan keatas jiwa dan pemikiran rakyat agak membimbangkan selama ini.


Untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap dan selesa di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang meliputi sistem rel dan bas, saya mendapati Kerajaan akan membelanjakan RM12 bilion dalam tempoh 4 tahun akan datang dimana rancangan peluasan dan pemanjangan landasan rel ke Puchong dan Gombak dianggap tidak lengkap jika rancangan memanjangkan landasan itu wajar sampai ke Kajang melalui Jalan Cheras, menghubungkan stesen Brickfields ke KL Sentral, ke Damansara dan sebagainya.


Disamping itu penambahan baru 1000 buah bas RapidKL bukan sahaja boleh membantu untuk mengangkut penumpang awam tetapi dalam masa yang sama ia merupakan salah satu punca jalan utama menjadi sesak bila hentian bas transit diletakkan di lokasi-lokasi yang sememangnya tidak sesuai.


Jika kita meninjau hentian-hentian bas sekitar Bandaraya terdapat hentian yang menjadi punca kesesakan seperti Jalan Pudu, Jalan Cheras berdekatan Jaya Jusco, Jalan Silang, Jalan Tun Cheng Lock dan jalan Tuanku Abdul Rahman.


Sebenarnya, dalam usaha kita menambah bilangan bas tetapi dalam masa yang sama bilangan kenderaan persendirian terus bertambah yang mana tidak Nampak bilangan kenderaan itu berkurangan dimana pemandu-pemandunya mengambil langkah menukar kenderaan dengan menaiki pengangkutan awam, saya rasa ini satu usaha yang sia-sia sahaja. Apa yang berlaku sekarang ialah sistem pengangkutan awam kita masih tidak cukup, baik teksi tambang murah, bas dan sistem rel laju ringan.


Orang ramai masih perlu menunggu lama untuk menaiki bas dan transit laju ringan termasuk masa untuk menukar kenderaan awam yang lain. Bukan sahaja perlu menunggu masa yang lama tetapi perlu bertukar ke pengangkutan awam yang lain bila menuju ke satu-satu destinasi.


Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya hab pengangkutan awam seperti bas dan teksi hendaklah disusun semula dan dipindahkan keluar dari kawasan sesak dan padat. Contohnya, Puduraya yang merupakan punca kesesakan kenderaan bila ratusan bas terpaksa berbaris dan menunggu giliran untuk memasuki basemen Puduraya. Bukan sahaja kesesakan dalam Puduraya itu sendiri tetapi kesesakan di jalan utama seperti Jalan Pudu kerana dihalang oleh bas-bas penumpang.


Sudah sampai masanya Hentian Puduraya tidak sesuai dijadikan hab bas antara utara dan selatan. Hab bas disitu hendaklah dipindahkan segera ke tapak bekas Penjara Pudu. Bangunan bekas Penjara Pudu itu hendaklah dirobohkan dan hendaklah dibangunkan menjadi pusat komersil berbilangan tingkat disamping menjadi hab bertingkat bagi bas-bas ekspres untuk laluan menuju ke utara, selatan dan ke Pantai Timur. Lagipun ia tidak jauh dari stesen Hang Tuah bagi LRT dan Monorel.


Kita sepatutnya merasa malu dengan projek pembinaan Plaza Rakyat yang terbengkalai selama bertahun-tahun yang mana DBKL nampaknya semacam tiada ‘taring’ untuk mengambil langkah segera memulihkan projek terbengkalai itu. Tambahan pula pengangkutan LRT memakai nama stesen Plaza Rakyat disitu sedangkan plaza itu tidak wujud, yang wujud hanya Puduraya. Sebab itu para pelancong asing terpinga-pinga mana satu Plaza Rakyat sedangkan yang kaki mereka pijak ialah Puduraya yang bersesakan dengan orang ramai, penumpang dan ke nderaan awam dan persendirian.


Tambah mengharubirukan lagi bila pelancong asing termasuk rakyat Malaysia yang baru pertama kali menaiki LRT yang mahu turun di Puduraya tetapi mereka turun di Stesen LRT Pudu. Bila keluar stesen dimanakah Puduraya, berapa jauh lagi. Untuk pergi ke Puduraya mereka terpaksa menaiki semula LRT dan minta tiket turun ke Plaza Rakyat yang tidak wujud atau mereka terpaksa berjalan kaki keluar ke jalan Pudu untuk menahan teksi atau bas ataupun berjalan kaki ke Puduraya sejauh lebih kurang 1.5km. bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai termasuk pelancong asing maka nama Stesen LRT Pudu ditukarkan ke Stesen LRT Jalan Pasar atau nama lain yang sesuai kerana pada tanggapan orang ramai yang tidak biasa di Kuala Lumpur, pada sangkaan mereka ,stesen Pudu itu ialah stesen Puduraya kerana mereka tidak kenal Plaza Rakyat.


Harapan saya semua stesen LRT, Monorel dan Putra hendaklah dilengkapi dengan medan meletak kereta bertingkat bagi memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka dengan selamat semasa mereka memilih untuk menaiki sistem transit laju ringan. Saya memerhatikan pihak pengurusan LRT sudah membina medan meletak kereta di sesebuah stesen tetapi ia tidak mencukupi kerana bilangan kenderaan semakin bertambah dan bas pengantara tidak mencukupi dan tidak berkesan.


Mengenai cadangan DBKL untuk menguatkuasakan caj atau levi memasuki Pusat Bandaraya keatas kenderaan-kenderaan luar di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan banyak pihak dan rakyat sendiri membantah kutipan tol baru memasuki Kuala Lumpur. Walaupun ia bertujuan untuk mengurangkan bilangan sejuta kenderaan memasuki Kuala Lumpur tetapi ia tidak praktikal kerana kenderaan persendirian perlu memasuki Pusat Bandaraya setiap masa atas berbagai urusan. Bila masa bergantung sistem pengangkutan awam sepenuhnya sudah sampai dan menjadi kenyataan, dengan sendiri orang ramai akan memilih pengangkutan awam.


Oleh itu cadangan mengutip levi memasuki Bandaraya Kuala Lumpur patut dibantah dan dimansuhkan kerana rakyat sudah membayar tol lebuhraya menuju Kuala Lumpur yang sangat mahal, sudah membayar tol terowong SMART bila melalui terowong , jadi mengapa perlu dibebani dengan kos pengangkutan yang tinggi termasuk caj meletak kenderaan malah kompaun kesalahan meletak kenderaan yang dinaikkan 300 peratus oleh DBKL juga tidak menghalang kenderaan memasuki Bandaraya. Sungguhpun Kerajaan ada jawapan kepada masalah-masalah ini tetapi rakyat melihat mengapa kerajaan mengambil masa yang begitu lama, tidak serius dan bersungguh-sungguh untuk merealisasi sesuatu rancangan, sehingga keadaan bertambah rumit dan teruk, baru kita melihat projek baru bermula.


Saya ingin merakamkan penghargaan kepada anggota-anggota trafik polis yang bertungkus-lumus pada setiap hari untuk meleraikan kesesakan tetapi sampai bila kita harus bergantung tenaga mereka. Apakah hasil kajian keatas cadangan untuk meleraikan kesesakan di persimpangan-persimpangan jalan utama. Laluan kenderaan awam nampaknya tidak boleh dipercayai lagi untuk menyelesaikan masalah kesesakan. Para pemandu menjadi tidak sabar dan gemar memotong kenderaan lain bila tersepit dalam kesesakan yang begitu lama.


Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mendesak pihak berkuasa supaya memperhebatkan memeriksa kenderaan awam seluruh negara berikutan kejadian atau tragedy kemalangan ngeri yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan teruk bagi menentukan keadaan kenderaan awam yang selamat digunakan dan sikap pemandu yang sentiasa berhemat di atas jalan raya.


Saya juga merasa sedih dengan bilangan kematian, kemalangan dan saman yang dikeluarkan sepanjang Ops Sikap X111 Musim Perayaan hari Raya yang lalu yang masih tinggi berbanding operasi-operasi sebelumnya iaitu 14,167 kemalangan, 124,823 saman dan 198 kematian. Kempenk-kempen Keselamatan jalan Raya nampaknya tidak berkesan dalam mendidik dan menukar sikap pemandu.


Saya menyambut baik langkah Kerajaan untuk menaikkan kadar bantuan warga emas dari RM200 ke RM300. Akan tetapi di Kuala Lumpur jumlah ini tidak sesuai dan tidak mencukupi. Kerajaan hendaklah menaikkan lagi sekurang-kurangnya RM400 sebulan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur seperti sewa rumah, kos perubatan dan makan minum.


Mengenai cadangan menaikkan biasiswa pelajar di luar Negara, saya mencadangkan supaya biasiswa pelajar –pelajar yang belajar di Korea Selatan dan Jepun ditambah lagi memandangkan kos sara hidup dinegara tersebut sangat tinggi.


Saya juga ingin menyeru Kerajaan terutama tindakan operasi bersepadu keatas pekerja-pekerja asing di perhebatkan di Kuala Lumpur memandangkan bilangan mereka sejak akhir-akhir bertambah dengan mendadak. Adakah mereka mempunyai permit, visa yang sah, bilangan mereka yang lari dari majikan di luar Bandar datang ke Kuala Lumpur, kegiatan haram yang mereka lakukan yang nampaknya seolah-olah kerajaan kita tidak mampu melaksanakan penguatkuasaan. Mereka bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat sendiri tetapi turut menjejaskan ekonomi penduduk tempatan.


Apa sudah jadi dengan 50,000 pelancong asing yang masuk ke Malaysia dengan ‘visa on arrival’ tetapi menghilangkan diri dan tidak kembali ke Negara asal mereka, apa langkah untuk mengesan dan menghantar mereka balik. Kerajaan hendaklah mengkaji semula syarat pengeluaran VOA keatas pelancong asing kerana kita tidak mahu kesan buruk yang bakal melanda Negara berikutan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2007 sungguhkan ia mendatangkan hasil pertukaran asing yang meningkat.


Saya juga mendapati tahun 2008, seramai 5.7 juta pelajar akan menikmati pinjaman buku teks sekolah di SPBT serta pemansuhan yuran sekolah termasuk yuran peperiksaan tanpa mengira peringkat dan kedudukan kewangan ibubapa. Ini yang bakal dinikmati oleh para pelajar dalam sekolah kerajaan, bagaimana pula pelajar yang terpaksa belajar dalam sekolah persendirian, swasta ?


Saya harap kemudahan SPBT dapat dilanjutkan ke sekolah-sekolah swasta terutama bagi pelajar yang kurang berkemampuan.

No comments: