Saturday, August 2, 2008

Meter baru, bil air naik mendadak

JALAN SUNGAI BESI - Sejak penukaran meter air di Perumahan Awam Razak Mansion tiga bulan lalu, bil air penduduk di sini didakwa melambung sehingga mencecah ribuan ringgit. Meter air di kawasan ini diselenggarakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk mendakwa berlaku kesilapan terhadap meter air yang baru dipasang. Seorang warga emas, Pung Shee Mooi, 74, mendakwa dia terpaksa menjelaskan bil air sebanyak RM9,864.90 selepas penukaran meter air oleh kontraktor DBKL tiga bulan lalu.

“Sebelum ini saya hanya perlu membayar bil air sebanyak RM24 sahaja, tetapi selepas penukaran meter baru ini, bil melambung sehingga RM9,864.90. Saya sangat terkejut dan memberitahu jiran mengenainya,” katanya. Keadaan yang berlaku katanya, membuatkan dia merasakan ada kesilapan pada bacaan meter itu kerana sebelum ini jumlah paling tinggi yang pernah dibayar sekitar RM70 sahaja.

“Aduan dibuat terhadap DBKL, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan susulan yang dapat kami lihat dilakukan bagi menangani masalah yang berlaku,” jelasnya. Salah seorang penduduk yang mengalami nasib sama, Juhairiah Mohd Olah, 25, menyatakan, penghuni rumahnya adalah seramai lima orang dan kebanyakannya bekerja.

“Justeru, penggunaan air tidaklah begitu kerap, tetapi bil yang kami terima turut meningkat. Saya tidak pernah ada tunggakan bil air, tetapi pada bulan lalu, terdapat tunggakan sebanyak RM75.50 hingga menjadikan jumlah yang perlu dibayar RM183.13.

“Kami bimbang berlaku pemotongan bekalan air jika tidak menjelaskan bil ini walaupun rasa terbeban dengan jumlah yang dinyatakan,” katanya. Masalah ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan beliau melihat sendiri peningkatan yang berlaku pada bil air bulanan penduduk.

Kui Lun berkata, beliau menerima aduan penduduk yang mendakwa bacaan air meningkat selepas meter air ditukar kontraktor terutama bagi yang tinggal di blok 14. "Saya terpanggil untuk datang melihat sendiri masalah yang melanda memandangkan penggunaan air mereka tidak mungkin mencapai jumlah sebesar yang didakwa. Tambahan lagi, jika dilihat pada bahagian belakang bil air tersebut, turut dinyatakan satu meter padu air bagi perumahan kos rendah adalah sebanyak 98 sen sahaja,” jelasnya.

Beliau menyatakan pihaknya mengeluarkan surat kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL pada 1 Julai lalu, tetapi sehingga kini masih tiada jawapan yang diterima. "Saya masih menanti jawapan daripada DBKL untuk menjelaskan keadaan yang berlaku kerana masalah ini membebankan penduduk,” tegasnya.

Sebelum pemasangan meter baru di sini katanya, kebanyakan penduduk hanya membayar bil air sekitar RM20 hingga RM50 sahaja sebulan. Justeru beliau memohon DBKL mempercepatkan siasat terhadap meter air ini kerana keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku di perumahan awam kos rendah. "Siasatan perlu dijalankan sama ada meter air yang dipasang kontraktor berkenaan mempunyai pengesahan Sirim atau tidak.

Sekiranya DBKL tidak cukup mahir dalam pengendalian pengurusan air, seeloknya ia diserahkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sahaja," tegasnya. Perumahan ini dibina sejak 45 tahun lalu dan masalah tersebut merupakan kali pertama berlaku, sementara setakat ini, aduan diterima daripada blok 14 dan 15.




-sinar harian-

No comments: