Saturday, August 16, 2008

Parlimen

Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Bintang, semasa membahaskan Rang Undang-Undang bernama Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat pada Ogos 2008

Tuan Yang Dipertua,

Saya memahami bahawa rang undang-undang pindaan keatas Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 bertujuan untuk menentukan sekurang-kurangnya seorang wakil dari Kementerian Pelancongan dan seorang wakil dari Kementerian Kewangan sebagai anggota majlis.

Saya ingin mencadangkan supaya anggota majlis dari sektor pelancongan ditambah lagi supaya mereka boleh memainkan peranan lebih cergas dan memberi input bernas bagi memperkembangkan industri pelancongan negara.

Saya difahamkan juga bahawa industry pelancongan kita mencatitkan pertambahan bilangan pelancong asing bagi tempoh 6 bulan pertama 2008 seramai 10,963,120 orang berbanding dengan 10,690,426 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu seperti yang ditunjukkan oleh angka bulan Jun 2008 iaitu dari 1,803,594 (Jun 2007) kepada 1,961,355 orang.

Kita tidak boleh berpuashati dengan pencapaian ini kerana dari jumlah tersebut, kira-kira 5,475,930 orang ialah pelancong Singapura, Negara jiran kita, dari Indonesia (1,095,511 orang), Thailand (758,114 orang) dan China termasuk Hong Kong dan Macau baru 491,682 orang.

Banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong asing tiba di Negara kita terutama Negara Arab, Eropah dan lain-lain.

Pertamanya, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia perlu menugaskan lebih ramai pegawai penggalaknya berkhidmat diluar Negara di pejabat-pejabat kedutaan Malaysia seberang laut. Malah Lembaga harus membuka pejabat-pejabat sendiri di Bandar-besar besar seluruh dunia bagi tujuan promosi pelancongan. Saya percaya pelancong asing kurang didedahkan dengan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan berkos efektif.

Keduanya, anggota penguatkuasa kita janganlah sewenang-wenang bertindak keatas pelancong asing yang sedang menikmati keindahan Negara kita. Kita kena berbudi bahasa dan ramah mesra bila berhubung dengan mereka. Terutamanya dalam tindakan keatas para pelancong asing yang menggunakan ‘visa on arrival’. Sungguhpun tidak boleh dinafikan ada pelancong-pelancong asing yang menyalahgunakan ‘visa on arrival’ dan mengambil kesempatan dari suasana aman di Negara kita untuk kepentingan diri mereka seperti tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melakukan kerja-kerja tidak bermoral dan jenayah. Jika kita bertindak terlalu keras dan kejam ia ibarat disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.

Pihak Polis dan Imigresen mestilah mempertingkatan langkah pemantauannya bagi mempastikan mana-mana pelancong asing yang menyalahgunakan visa mereka dikenakan tindakan undang-undang dan pengusiran. Apa sudah terjadi dengan Majlis-majlis Pelancongan setiap negeri, apa usahanya untuk membantu Lembaga menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar Negara menikmati destinasi pelancongan kita sendiri. Selain itu, pusat info pelancongan hendaklah disediakan dimerata tempat dalam Bandar-bandar besar. Sebagai contoh, acara perayaan berbagai kaum di Malaysia boleh dipromosikan sebagai bahan produk pelancongan Malaysia. Negara kita mempunyai banyak destinasi menarik untuk dimuatkan dalam risalah dan buku kecil seperti eco tourism, agro tourism dan sebagainya. Kebanyakan pelancong asing semacam tercari-cari kelainan produk pelancongan Malaysia kerana mereka sudah jemu dengan destinasi pelancongan sedia ada.

Pegawai-pegawai promosi pelancongan di luar Negara hendaklah menyediakan iklan dalam bahasa tempatan disesebuah Negara untuk menarik bakal-bakal pelancong Negara tersebut datang ke Malaysia. Iklan dalam bahasa tempatan mampu meraih minat mereka.

Saya sebut sebagai contoh Negara China yang ramai penduduk dan berpotensi besar menjadi pelancong kita. Bagi tempoh 6 bulan pertama 2008, hanya seramai 491,682 pelancong dari sana tiba di Malaysia. Jika lebih banyak promosi dalam bahasa tempatan dijalankan seperti billboard, bunting, iklan tv, akhbar dan sebagainya maka ini akan memudahkan penduduk tempatan memahami dan memilih Malaysia sebagai destinasi mereka. Kebanyakan rakyat tempatan tidak memahami bahasa Inggeris, mereka lebih suka membaca bahasa sendiri. Saya harap kerajaan merebut peluang yang ada dengan membuka pejabat promosi di Bandar-bandar besar seperti Bejing, Shanghai, Guang Zhou dan lain-lain. Pakej-pakej pelancongan yang harga lebih murah hendaklah disediakan seperti tambang murah dengan melibatkan syarikat-syarikat penerbangan Negara dan asing.

Saya juga ingin menyentuh disini iaitu sejak Kerajaan Pakatan Rakyat ditubuh di Negeri Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri-negeri tersebut terpaksa berjalan sendirian kerana tidak mendapat kerjasama pihak Persekutuan, sedangkan setiap negeri dikehendaki mensasarkan matlamat Kempen Melawat Malaysia. Janganlah kerana perbezaan politik dan pentadbiran negeri, Kerajaan Persekutuan tidak menghulurkan bantuan dan peruntukan bagi pelancongan bagi negeri-
negeri tersebut berbanding negeri-negeri yang diperintah BN.

Tuan Yang Dipertua,
Kita maklum bahawa Melaka dan George Town, Pulau Pinang yang dikenali Bandar Sejarah Selat Melaka telah dipilih oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, yang mana sebelum ini UNESCO telah mengiktiraf tapak alam semula jadi bagi Taman Negara Mulu, Sarawak dan Taman Kinabalu, Sabah.

Pengiktirafan ini akan menaikkan nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa baru bagi Malaysia. Melaka sebagai sebuah Bandaraya Bersejarah yang terkenal seluruh dunia kerana kesan sejarah kesultanan Melaka dan bekas jajahan Portugis, Belanda dan Inggeris yang selama ini Berjaya menarik 5 juta pelancong. Dengan pengiktirafan ini akan meningkatkan kedatangan pelancong asing. Begitu juga dengan sejarah George Town, Pulau Pinang yang juga terkenal dengan pulau mutiara Timur, diharap boleh menarik kedatangan lebih ramai pelancong asing. Tujuan kedatangan para pelancong asing ialah untuk melihat kesan sejarah sesuatu tempat. Jika ini berjaya dipertingkatkan, maka ini boleh menarik lebih ramai pelancong datang. Disinilah peranan Lembaga Penggalakan Pelancongan dan kerjasama agensi-agensi lain untuk menarik kedatangan mereka.

Bukan hanya pelancong asing sahaja malah pelancong-pelancong tempatan pun berminat untuk mencari kesan-kesan sejarah dan tapak warisan kerana ia sesuatu yang luar biasa. Usaha untuk memupuk minat rakyat kepada sejarah tanah air ialah bermula dari pemerhatian kesan dan tapak sejarah Negara. Kita tidak boleh mempamerkan terlalu banyak budaya dan kesan penjajah tetapi dalam tempoh yang sama kita juga wajar mengetengahkan produk tempatan yang sezaman supaya para pelancong dapat membuat penilaian sendiri. Langkah promosi memang wajar diperhebat, bukan sahaja ditempatkan di hotel, kiosk info malah di mana-mana sahaja.

No comments: