Friday, July 4, 2008

Ucapan Penangguhan

MENDESAK KERAJAAN MENYELAMATKAN SEGERA PROJEK TERBENGKALAI – PLAZA RAKYAT DAN NAS PAVILION DI KUALA LUMPUR

Tuan Yang Di pertua,

Ada dua projek mega yang terletak dalam kawasan Parlimen Bukit Bintang yang lama terbengkalai. Satu ialah projek pembinaan Plaza Rakyat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur dan yang kedua ialah Projek Nas Pavilion (dulu dikenali sebagai C N Gallery) terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Projek Plaza Rakyat yang dibina dalam tahun 1997 telah terbengkalai selepas asas atau tapak bangunan disiapkan. Nama Plaza Rakyat menjadi sebutan rakyat dan pelancong-pelancong asing sehinggakan stesen Star LRT yang terletak di sebelahnya turut dinamakan Stesen Plaza Rakyat dan menenggelamkan nama Stesen Puduraya yang termasyhur dengan keadaan kesesakan lalulintas terutama bas. Malangnya selepas 11 tahun berlalu keadaan tapak pembinaan sungguh mengaibkan Bandaraya Kuala Lumpur di mata dan pemandangan para pelancong asing.

Projek ini ialah projek usahasama swasta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ramai pembeli lot bangunan telah melaburkan wang mereka dalam projek ini. Bukan sahaja mereka rugi kerana tidak mendapat balik modal dan kehilangan perniagaan disitu tetapi mereka dikejar oleh bank-bank bagi mengutip balik pinjaman yang dibuat dan dikenakan caj faedah keatas pinjaman yang tinggi.

Di tahap manakah pihak DBKL dan pemaju sendiri sudah menyelesaikan masalah-masalah bertindih yang menyebabkan projek ini terhenti walaupun desakan demi desakan serta keluhan demi keluhan orang ramai yang meminta Kerajaan berbuat sesuatu untuk menyelamatkan projek ini agar diteruskan dan disiapkan secepat mungkin. Sejak menjadi wakil rakyat kawasan Bukit Bintang pada 1999, saya tidak putus-putus menyuarakan agar projek ini disiapkan secepat mungkin tetapi alasan demi alasan yang diberikan bagi menyedapkan pendengaran.

Projek terbengkalai yang kedua ialah Nas Pavilion yang terletak di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Bangunan Times Square yang terletak bersebelahan yang dibina terkemudian sudah beroperasi sepenuhnya tetapi projek terbengkalai Nas Pavilion terus tinggal dalam keadaan mengaibkan.
Para pembeli unit yang telah melabur wang simpanan seumur hidup mereka kini tertunggu-tunggu bilakah mereka dapat memasuki unit perniagaan yang telah mereka beli. Mereka difahamkan bahawa pihak RHB yang mengambilalih projek tersebut bercadang untuk menjual projek terbengkalai itu kepada pembeli lain dan para pembeli unit sedia ada akan diberikan sadikit gantirugi yang langsung tidak cukup untuk menampung wang yang mereka telah laborkan. Ini merupakan satu bentuk pelaburan aset yang sungguh merugikan. Para pembeli enggan menerima tawaran ini, sebaliknya mereka mahukan pemaju terus membangunkan projek tersebut hingga siap yang mana mereka sendiri akan membuat pilihan sama ada untuk meneruskan perniagaan atau menjualkannya kepada pihak lain.

Saya minta Kerajaan campur-tangan untuk menyelesaikan seberapa segera dua projek terbengkalai ini kerana ia mengaibkan Bandaraya Kuala Lumpur. Kerajaan patut mempunyai satu unit khusus yang menjaga dan bertugas menangani projek-projek pembangunan terbengkalai untuk bangunan perniagaan dan perdagangan sebagaimana banyak projek perumahan terbengkalai yang berjaya dipulihkan.

No comments: