Ucapan oleh YB Sdr Fong Kui Lun, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Bintang, semasa membahaskan Peruntukan 2008 bagi Kementerian Pertahanan (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat pada 10.12.2007:
Tuan Pengerusi,
Saya ingin membangkitkan kebajikan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari semua cawangan termasuk juga bekas tentera. Kita semua maklum bahawa anggota tentera telah memberikan pengorbanan yang tinggi kepada Negara dan kami dari DAP pun mengakui dan menghargai sumbangan mereka dalam mempertahankan Negara tetapi kita lupa untuk meletakkan tempat yang sewajarnya pengorbanan mereka ke tahap yang lebih baik berbanding anggota perkhidmatan bukan uniform seperti tanggagaji mereka, elaun perkhidmatan atau tugas berat yang terpaksa dipikul, bonus tahunan.
Saya tidak pasti sama ada anggota turut terlibat dalam kenaikan gaji kakitangan awam pada Julai lalu. Jika ada pun mereka barangkali tidak menerima bonus tahunan yang sangat diperlukan untuk perbelanjaan keluarga seperti persekolahan anak-anak bagi tahun 2008. Dengan kos sara hidup di Kuala Lumpur dan Bandar besar yang lain yang semakin meningkat, keluarga mereka terpaksa berhati-hati dalam perbelanjaan. Kerana sibuk dengan tugas yang berat tidak mungkin mereka melakukan kerja sambilan seperti berniaga secara kecil-kecilan. Bagi membolehkan mereka menumpukan tugas Negara tanpa fikiran mereka berserabut dengan masalah kewangan keluarga, kementerian hendaklah mengkaji semula sama ada elaun yang dibayar kepada mereka masih lagi wajar dan berpatutan dengan situasi masakini.
Sebagai contoh askar wataniah, kedudukan mereka lebih rendah dengan anggota tentera yang tetap. Anggota biasa tentera boleh menerima pencen bulanan tetapi bekas askar wataniah tidak menerima apa-apa bantuan atau pencen. Mereka hanya diberikan saguhati semasa bersara. Habis wang saguhati, maka tiada lagi sumber pendapatan mereka. Apatah lagi mereka yang sakit, cacat anggota dan sebagainya, kebajikan mereka hendaklah diberikan perhatian serius walaupun mereka sudah tidak lagi berkhidmat.
Ada bekas askar wataniah yang menghidap penyakit diabetes selepas bersara terpaksa memakai tongkat bila berjalan setelah kaki dipotong dan terpaksa didukung bila menaiki flet yang tidak mempunyai lif. Bagaimana perumahan untuk anggota tentera kerana masih terdapat anggota yang tinggal menyewa di luar kem.
Jika kerajaan sanggup membeli senjata dan peralatan baru dan menggantikan yang lama, maka kerajaan tidak boleh mengabaikan pesara dan bekas tentera daripada menikmati kehidupan yang lebih selesa.
Misalnya, mengikut butiran 00200 MP 60, Tentera Darat membelanjakan untuk kelengkapan berjumlah RM1,303,873,200 manakala Tentera Udara bawah butiran 00600 membelanjakan untuk kelengkapan berjumlah RM1,481,675,000. Kedua-duanya adalah satu jumlah perbelanjaan yang besar dan saya ingin bertanya apakah tujuan perbelanjaan tersebut, apakah jenis senjata dan kelengkapan yang akan dibeli dan butir-butir pembelian. Mengapakah angka itu terlalu besar dan apakah sudah terjadi dengan senjata dan kelengkapan sediaada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment